21 Ogos 2010

KIAMAT: episod ke -14982

11 Ramadan 1431H


Tik Tok.. Tik Tok.. Tik Tok..


Hari sudah lewat benar. Jam di dinding kamar Alif terus berdetik mengikut deras masa. Alif masih lagi menghadap komputer, meneliti dan menyelusuri satu persatu laman sesawang di internet. Penat bermain futsal bersama pasukan JKM masih belum hilang, diurutnya kaki kanan yang banyak menyumbangkan jasa kepada pasukan futsal itu. “Hari ini aku bermain cantik, syukurr...”


Tik Tok.. Tik Tok.. Tik Tok...


Alif masih lagi menelaah internet, kerja ini memang takkan habis. Lantas beliau membaca sebuah artikel berkaitan dengan pembuangan bayi yang semakin menjadi jadi ketika ini. Banyak sungguh bayi yang tidak berdosa dibuang merata rata. Dalam longkang,  tepi loji kumbahan, bawah helikopter malah di bengkel kemahiran hidup sebelah Apit G juga ada. “Astarghfirullahalazimmm..”  Alif beristighfar panjang. Betapa teruknya keruntuhan moral dan isu sosial yang semakin membarah pada masa kini telah menyebabkan beliau berasa kesal dengan tindakan para penjenayah jenis lepas tangan tersebut. Kebejatan sosial yang semakin menggila mendorong Alif berfikiran rasional. “Aku hairan mengapa segelintir kita masih menghukum bayi bayi ini dengan menggelarkan mereka sebagai anak haram. Walhal selayaknya ibu ibu dan bapa bapa mereka yang patut digelar sebagai haram, Bapak haram! Ibu Haram! Bukan bayi. Celaka! ” Bentak Alif dalam hatinya. Rasional Alif ada benarnya, kerana di dalam artikel sebelum ini beliau ada terbaca mengenai tanda tanda kiamat kecil. Salah satunya berkaitan dengan keruntuhan akhlak yang semakin menjadi jadi. Alif mengeluh panjang...


Tik Tok.. Tik Tok.. Tik Tok...


Facebook.


Nuareth Kamar – “Ini satu lagi haprak. Bapak kau kasi nama elok elok, kau letak nama macam nama Nazareth, setan tak sadar diri” Alif marah marah. Masakan tidak, nama sebenar kawannya itu adalah Anuar yang bermaksud cahaya. Manakala Nazareth pula merujuk kepada sebuah Bandar di utara Israel. Bagi Alif, anak anak muda kini makin terikut ikut dengan budaya barat, budaya hedonism, budaya batu dan golek dan macam macam jenis kejadah budaya yang tidak elok. Beliau kesal dan berjanji akan menasihati rakannya supaya mengubah nama kepada yang lebih islamik. Nama yang sesuai dengannya sebagai seorang muslim. Nama yang baik baik. Nama yang terpuji.


Tik Tok.. Tik Tok.. Tik Tok...


Alif menghitung diri, beliau bersyukur kerana dirinya masih lagi tidak menyimpang jauh dari ajaran sebenar. Beliau tidak mahu berbangga diri mahupun dianggap takabur. Tetapi nampaknya setakat ini rakan rakannya memuji segala tindakan beliau. Main bola tutup aurat. Pergi masjid sedekah 20 sen. Pimpin tangan kucing Haji Murad ketika melintas jalan. Tegur awek cun yang tak pakai g-string. Tukar juadah ketika deepavali. Segalanya dilakukan Alif dengan penuh keikhlasan. Beliau memuji dirinya sendiri tatkala melihat rakan rakannya masih lagi hanyut dengan duniawi.


Tik Tok.. Tik Tok.. Tik Tok...


Alif kini beralih arah. Ruangan gosip artis juga turut menjadi pilihannya. “Celakaa!” Alif marah dan terkejut. Beliau terkejut apabila membaca sebuah gosip yang mengatakan bahawa seorang produser filem tanah air bernama Raja Azmi mempunyai skandal dengan Roslin Hashim yang juga bekas pemain badminton Negara. “Memang kiamat makin hampir, kau berkiblatkan duniawi dan bertuhankan nafsu!” monolog Alif sendirian. “Kau bukan Raja Azmi, kau sebenarnya Raja Firaun! Dan kau Roslin, kau jantan dayus!” Kemarahan alif tidak dapat dibendung lagi. Beliau yang geram dengan isu tersebut terus mencapai sebatang rokok bola di tepi skrin komputernya. Dicucuhnya perlahan lahan dan disedutnya dalam dalam. Alif lega. Gosip gosip sebegitu memang memanaskan hatinya yang pantang melihat sebarang kemungkaran. Disedutnya lagi rokok bola itu dalam dalam. Dihembus asap rokok tersebut ke skrin komputer, betul betul tepat ke muka Raja Azmi. “Padan muka kau syaitan! Hahaha” Alif gelak sendirian macam Salleh yang duduk dekat Sg Isap.


“Poww!!”


Satu tumbukan speed jab hinggap tepat di rusuk kanan Alif. Alif terjatuh, rokoknya masih menyala. Rusuknya dirasakan sudah terlepas ke kepala lutut.


“Kau fikir apa? Kau tengok jam sekarang? 6.50 pagi! Orang dah siap sahur. Tapi kau? Ya, Kau dengan rokok bola kau! Dan kau...kau tak berpuasa syaitan!” Pak Abu marah sambil mencekak pinggang macam Don Clericuzio marahkan anaknya yang bernama Giorgio dalam novel The Last Don. Sedikit demi sedikit air mata Pak Abu jatuh berderai. Kasih seorang bapa kepada anaknya tidak patut diterjemahkan dengan cara begini!


Alif bingkas bangun. “Maaf ayoh, Alif tak sengaja. Alif tak perasan yang sebenarnya waktu imsak sudah lama habis. Alif menyesal!” Rayu Alif kepada ayahnya.


“Sudah! Kau pegi ambil wudhuk sekarang! Kau solat subuh. Minta maaf pada tuhan, bukan dengan aku!” Pak Abu menahan air matanya daripada terus jatuh. Alif yang masih lagi terpinga pinga terus sahaja berdesup ke bilik air. Diambilnya wudhuk dengan tertib. Sesudah itu Alif membentangkan sejadah untuk bersolat. Alhamdulillah..


Tik Tok.. Tik Tok.. Tik Tok...


Alif selesai solat. Dirasakan dirinya betul betul bersalah. Kelalaian beliau melayari internet mengundang padah. Alif menoleh ke belakang, Pak Abu berdiri di belakangnya seolah olah mahu menjadi makmum kepada Alif. Namun yang pasti Pak Abu sudah berjemaah di surau tadi. Lalu Pak Abu mendekati Alif, dibelai rambut rambut Alif yang masih lagi basah dihujani wudhuk yang tertib.


“Anakku..tidakkah kau sedar yang kau bersembahyang sambil memakai boxer dickies semata? Mazhab apa yang kau pegang? Ustaz mana yang kau ikut? Sedangkan wahabi pun tidak menganjurkan umat Islam bersolat dengan cara begini?”


Alif terkejut. Alif langsung tidak perasan yang beliau hanya memakai boxer ketika solat! Ini benar benar satu penghinaan! Beliau melihat Pak Abu menahan sedih.


“Lu memang pailang..” ujar Pak Abu. Kali ini air matanya mengalir deras. 

*Cerita ini tiada kaitan dengan hidup mahupun yang mati. Rekaan semata mata

Dan janganlah kita melakukan perkara-perkara lagha'. Gambar Hiasan.
(coretan Anuar)

6 ulasan:

yienNoor berkata...

hahahaha.. best best2... gile terbaik pengarang ahahhahaha

Stryker_x86 berkata...

bereh doh 2....
aku rase alip pulok yg maroh nanti....
waka waka...
bersiap sedia nuar....

mr cekodok berkata...

hahahahaha kalako la mu nuar!

Tanpa Nama berkata...

jgn la kite mcontoi aliff...caiyok2 nuar

Tanpa Nama berkata...

haha...pedah perut aku baca citer pendek ni..

ZieMa berkata...

hahahahaha... dats oL

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...