25 Ogos 2010

Omar Alias - Percaturan Menjadi

SG ISAP, Colombia – Mantap, semakin mantap dan mantop macam bodi awek cun. Itulah ungkapan yang sesuai bagi menggambarkan prestasi pasukan futsal JKKK Kusi Meroh (JKM) pada ketika ini.Sesi latihan rutin yang dijalankan pada malam Jumaat minggu lepas telah memberi gambaran kepada para pemerhati luar bahawa pasukan JKM bukanlah sebuah pasukan yang mudah untuk ditewaskan. Kombinasi dan percaturan taktikal yang semakin baik telah meletakkan pasukan JKM pada satu tahap yang berbeza berbanding pada sesi latihan awal mereka dahulu.

Percaturan baru yang meletakkan gandingan dua penyerang di hadapan iaitu Mat Bennayoun dan Curmul Cursta dilihat sebagai satu paradigma dalam permainan pasukan JKM. Mat Bennayoun kelihatan 'menjadi' pada malam tersebut dan gandingannya bersama Curmul Cursta merupakan senjata terbaru pasukan JKM yang perlu diberi perhatian oleh pasukan lawan. Persefahaman yang baik, hantaran satu dua yang cantik dan disudahi dengan gol yang menarik menyebabkan mereka kini menjadi buruan kelab kelab ternama di New Delhi.

"Esok aku nak pegi JPN, nak tukar nama jadi Yumni Torres bin Abu Seman" - Mat Bennayoun

Beberapa pemain lain juga telah menunjukkan peningkatan yang ketara. Bram Noordin misalnya telah menunjukkan peningkatan dari segi kawalan bola dan teknik rembatan dari jarak jauh. Walaupun pada malam tersebut kasutnya koyak rabak dan zip seluarnya rosak, namun ia sama sekali tidak mematahkan semangat beliau untuk terus memberikan komitmen sepenuhnya terhadap pasukan JKM. "Biar zip rosak, jangan akhlak yang rosak" ujar Bram Noordin dengan yakin sambil menggulung kertas cap wayang.

"Gua dah power. Lu bila lagi? "-Bram Noordin

Kebuntuan jaringan oleh Omar Alias akhirnya berjaya dipecahkan pada malam tersebut. Gol beliau juga dipilih sebagai gol tercantik pada malam itu kerana bola yang disepaknya dari kawasan sendiri telah melencong menerjah masuk ke jaring pasukan lawan yang dikawal oleh Mohar Jantan. Mohar Jantan dilihat menggelengkan kepala apabila bola tersebut masuk ke dalam gawang yang dikawalnya. Di sebalik jaringan tersebut, Mohar Jantan sebenarnya telah menyelamatkan banyak percubaan berbahaya. Beliau setidak tidaknya telah menafikan 342 percubaan yang dilakukan oleh rakan rakan sepelatih. Aksinya yang tangkas ala ala bekas penjaga gol Pahang, Ou Yu Tiang telah mendapat pujian dan tepukan daripada ketua kampung, encik Mubin. Menurut Mohar Jantan, anak perempuan encik Mubin itu cantik.

Sementara itu, beberapa pemain JKM juga dilanda kecederaan. Muhamad Subri yang juga dikenali sebagai supersob telah mengalami kecederaan lutut yang agak kritikal. Beliau terjatuh ketika hendak mengambil wudhuk. Eh silap. Beliau terjatuh ketika hendak mengambil sepakan percuma dalam sesi latihan tersebut. Razak Hamid pula mengalami kecederaan buku lali dan menyaksikan beliau meninggalkan sesi latihan dalam keadaan terhincut hincut. Begitu juga dengan Nuareth Kamar yang cedera dipangkal peha akibat sudah lama tidak bersukan dan juga akibat masalah kekurangan duit. Walaupun masalah duit dan pangkal peha tiada kaitan, namun ia tetap dijadikan sebagai alasan bagi orang yang suka memberi alasan. Ketiga tiga pemain tersebut dikhabarkan akan dirawat menggunakan ramuan herba yang dibawa khas dari tanah besar China oleh Tuan Guru Taichi Master, The Dom.

Secara keseluruhannya permainan pasukan JKM dilihat semakin meningkat dari semasa ke semasa. Walaupun terdapat 3 pemain yang cedera namun ia tidak menghalang pasukan JKM dari mengecapi fasa peningkatan yang drastik dan juga tidak menghalang mereka daripada melepak seperti biasa. Sesungguhnya sesi latihan dan perlawanan persahabatan pada Ramadan kali ini telah menepati objektif awal pasukan iaitu mengurangkan kadar diameter perut yang buncit ataupun dalam bahasa kampungnya, "Gua nak perut gua jadi katang."


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...