12 Jun 2011

Sidang Anarki



Setelah sekian lama dibiarkan bersawang dan sepi tanpa sebarang khabar, akhirnya blog ini kembali dengan paparan terbaru. Maklumlah, ahli sidang kebanyakkannya tidak berminat untuk menulis, melontarkan pandangan mahupun berkongsi pengalaman.Sebelum ini ada juga Rooney dan Yiennoor yang rajin menulis. Yang lain? Ada yang sibuk bekerja keras di lautan mahupun di daratan. Ada juga yang sibuk main click click di internet dengan harapan esok lusa jadi kaya. Walau apa pun kerjanya, yang penting adalah usaha.Seperti lumrahnya seorang manusia yang mempunyai keinginan, maka tiadalah masalah sekiranya mereka ingin menjadi kaya raya asalkan tidak melupakan tanggungjawab untuk membayar zakat pada kemudian hari.

Yang lainnya, kebanyakkan masa dihabiskan untuk merokok,mengencing dan mengabdikan diri di kedai kopi. Aktiviti dan pengisiannya tidak serancak dahulu, tiada lagi futsal mingguan mahupun karaoke secara berhemah. Mungkin perkara itu berlaku lantaran kekangan waktu dan juga kesibukan bekerja. Jika ada pun perbincangan di Facebook, maka ceritanya tidak lari dari borak borak mengenai bisnes internet, cerita cerita projek mega mengalahkan projek kroni zaman Mahathir dan kempen menjadi jaguh jom pegi kenduri kawin. Jadi jaguh mengajak orang pegi kenduri kawin tu penting, tapi lazimnya yang jadi jaguh tu belum tentu lagi nak pegi kenduri kawin. Itu belakang cerita. Namun kesimpulannya, peluang sebegitulah yang akan digunakan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim yang sedia terjalin.

Semenjak perpindahan Pailang Mohar ke Temerloh, maka pergerakan dan aktiviti JKKK turut seiring menjadi perlahan . Faktor Mohar dilihat penting kerana beliau merupakan seorang pailang yang berani dan aktif dalam mengisi ‘roh’ JKKK. Malah pada tanggapan penulis, setakat ini hanya Mohar sahaja yang layak digelar pailang. Hal ini demikian kerana beliau merupakan individu yang ‘bertindak’. Beliau bukan individu yang duduk termanggu ataupun merokok di depan komputer sambil memberikan ayat ayat power, kononnya. Malah ayat power Mohar sebenarnya bersifat ‘lisan’ dan terbukti keberkesanannya. Justeru tidak hairanlah ada segilintir daripada ahli JKKK termasuk penulis sendiri yang pernah menagih ilmu ayat cinta daripadanya untuk dijadikan sebagai modal mengorat makwe.  Dalam erti kata lain, JKKK sebenarnya kehilangan seorang pemimpin yang berhati kering.

Mohar Jantan kini menjadi nelayan di Sungei Pahang


Bagi mengisi aktiviti JKKK yang semakin suram, penulis dan beberapa ahli JKKK yang tidak berpengaruh telah merancang dan melaksanakan satu aktiviti yang dinamakan sebagai ‘Save Kuantan’. Projek ini dilakukan sebagai manefestasi bantahan secara aman terhadap pembinaan Projek Lynas yang bakal menjadikan Kuantan sebagai Bandar Mutasi. Maka atas kesedaran dan kebimbangan tersebut, satu bantahan secara aman melalui penyebaran gambar dan mesej telah dilakukan pada tarikh 4 Jun 2011. Kami juga telah bersepakat untuk mengadakan aktiviti tersebut pada tarikh yang sama dengan hari perkahwinan Supersob yang juga merupakan salah seorang pemain futsal terbaik skuad JKKK selain daripada Mat Bennayoun.


Aktiviti ini dijalankan bagi memperlihatkan kepada umum bahawa JKKK boleh melangkau jauh dalam mengimbangi isu isu setempat dan sosial yang berlaku sama ada di dalam mahupun di luar negeri. Dengan harapan, JKKK tidak lagi dilihat sebagai sebuah kumpulan yang hanya reti mengeteh dan berborak di kedai kopi sambil bergelak ketawa macam iblis. Pihak JKKK juga tidaklah sehebat Wikileaks untuk membocorkan mana-mana rahsia dan data kompeni yang bertanggungjawab dalam isu ini dan hanya cukup sekadar untuk membuat manifestasi bantahan secara kecilan sahaja.




Walaupun bantahan ini tidaklah sehebat penentangan terhadap kerajaan Hosni Mubarak di Mesir, namun harapan untuk melihat Bandar Kuantan terus membangun dengan sihat dan lestari tetap menjadi matlamat utama. Penulis yakin ramai pihak tidak mahu generasi pada masa hadapan yang tinggal di Kuantan dilahirkan dalam keadaan berkepala besar macam Alien Workshop kesan daripada radiasi yang dikeluarkan dari kilang projek kroni tersebut. 


Atau mungkin juga pada masa akan datang, Kuantan akan menjadi sebuah Bandar Zombie. Maka peluang tersebut akan digunakan oleh Mamat Khalid untuk menerbitkan filem-filem komedi seram yang diberi tajuk seperti Zombie Kampung Sg Isap ataupun Zombie Jalan Wong Ah Jang.



Walaupun penulis dan rakan rakan yang kurang berpengaruh ini tidak begitu mahir dalam bidang sains,  namun apa yang lebih penting adalah kesedaran. Kalau pandai ilmu sains tapi tiada kesedaran dalam diri, maka tiadalah berguna juga akhirnya. Lebih baik gunanya ilmu sastera jika ada jiwa kesedaran tentang kehidupan mendatang. Sekian.


Artikel akan bersambung, tapi tak tahu bila.


Penulis dan beberapa rakan yang kurang berpengaruh dan posing dalam keadaan bersepah




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...