Saya punya seorang kawan..
Dia masih muda, usianya juga kurang daripada saya. Mungkin disebabkan ikatan kasih sayang yang sangat kuat, maka dengan izin tuhan berkemungkinan besar dia akan melangkah ke fasa kehidupan baru hujung tahun ini. Kehidupan fasa baru, maksud saya, dia akan berkahwin.
Citanya bukan kosong, bukan sekadar menanam tebu di pinggir bibir, bukan sekadar hanya melepas batuk di tangga, tidak lagi berjaja ayat untuk mengayat makwe, tetapi citanya adalah bulat dan satu. Mahu berkahwin.
Mahu berkahwin? Retorik?
Mahu berkahwin itu retorik. Tetapi usaha untuk berkahwin bukan retorik ya saudara-saudari. Apa yang menyebabkan saya terkesan dengan dia adalah disebabkan usahanya untuk berkahwin.
Kamu sanggup makan sardin tiap-tiap hari? Makan sekadarnya, menikmati juadah dengan upaya termampu. Makan malam pula berlaukkan ikan masin atau kadang kala, megi. Selebihnya? Malam esok-esok? Maka kicap dan nasi kosong adalah jawapannya.
Minum? mestilah air kosong. Malah apabila rakan-rakan lain mengajaknya pergi minum-minum di kantin, dia dengan rendah diri tetapi penuh ceria, hanya memesan segelas air suam. Perkara itu berulang setiap hari. Bukan selang sehari atau selang dua hari. Ini perkara benar.
Apabila membaca surat khabar, dia mengerat borang-borang peraduan yang menyediakan hadiah ribuan ringgit. Silang kata? Cross words? Teka kedudukan bola? Semua dia kerat, semua dia isi, malah jika ada peraduan tentang tuala wanita tentu dia akan isi. Pasti.
"Aku nak cari duit lebih Bro, aku nak kahwin, kena usaha, kena rajin, takkan asyik-asyik Bank Rakyat je?"
Saya tersedar dari lamunan...
Betul katanya.
Ya, usaha.
Dan saya menarik gebor lalu tidur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan